Tuesday, January 25, 2011

Perak Perkenal Dinar Emas, Dirham Akhir Bulan Depan

Selasa Januari 25, 2011

IPOH: Kerajaan Perak akan memperkenalkan mata wang dinar emas dan dirham pada akhir bulan depan bertujuan mempelbagaikan bentuk simpanan kewangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Khalid berkata Perak sedang bekerjasama dengan Kuwait Finance House (KFH) untuk memperkenalkan dinar emas dan dirham kerana institusi kewangan itu berpengalaman luas dalam aspek pengendalian mata wang berkenaan.

"Apa yang pasti mata wang (dinar emas dan dirham) diperkenalkan Perak amat jauh berbeza dengan mata wang yang diperkenalkan Kelantan sebelum ini. Perbezaan itu akan dijelaskan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pihak pengurusan tertinggi KFH di sini hari ini.

Segala perincian, mekanisme serta bentuk mata wang berkenaan akan diumumkan pada pelancaran itu nanti, kata Mohamad Zahir.Dinar emas dan dirham itu akan dikeluarkan Goldnet International Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan kerjasama KFH (Malaysia) Sdn Bhd.

Pengerusi KFH Shaheen al Ghanem berharap hubungan yang terjalin termasuk dalam aspek nasihat kewangan serta sokongan dalam pengeluaran bantuan modal dengan kerajaan negeri dapat diteruskan pada masa depan.

"Kami juga sebenarnya dalam proses untuk melebarkan sayap perniagaan ke seluruh Malaysia dan sedang melihat kemungkinan mewujudkan cawangan di Ipoh pada masa terdekat kerana berpuas hati dengan inisiatif pembangunan yang ditunjukkan kerajaan negeri," katanya. - Sumber : BERNAMA


No comments:

Post a Comment