Sehubungan itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong penggunaan dinar dan dirham sebagai langkah alternatif menggantikan mata wang konvensional yang ketika ini semakin menyusut.
Yang Dipertuanya, Datuk As-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ada suatu perkara yang dulunya biasa dan amat akrab dalam kehidupan umat Islam tetapi ia kini terpinggir dan ada pihak berpendapat akibat terpinggirnya amalan itu, rata-rata umat Islam berada dalam hambatan kemiskinan sama ada dari segi iktisad (ekonomi) dan siasah (politik).
“Amalan yang terpinggir itu adalah penggunaan mata wang syariah bernilai hakiki iaitu dinar emas dan dirham perak. Penggunaan mata wang syariah itu lebih dekat dengan Islam dan mempunyai pelbagai kelebihan seperti mengelakkan riba yang kebiasaannya diguna pakai secara berleluasa dalam aktiviti perbankan dan wang kertas.
“Emas adalah wang paling stabil pernah digunakan manusia dan ia sudah terbukti digunakan sejak daripada awal tamadun Islam sehingga ke hari ini. Kestabilan nilai emas dapat mengelakkan daripada berlakunya inflasi dan krisis ekonomi.
“Malah, emas tidak boleh dicetak sewenang-wenangnya oleh sesebuah kerajaan seperti wang kertas menyebabkan nilainya tidak mungkin susut atau jatuh seperti mana nilai wang yang digunakan sekarang,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Minisiri Dinar Emas bertajuk ‘Kebangkitan Dinar Emas Dalam Muamalah Ummah’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Seminar sehari dengan kerjasama Al-Qafilah International Sdn Bhd itu dihadiri kira-kira 60 peserta termasuk ahli perniagaan dan pelajar universiti yang membincangkan penggunaan mata wang syariah dari sudut agama dan ekonomi.
Abdul Halim berkata, kesohoran dinar sebagai mata wang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama disemat dalam sejarah tamadun Islam dan pernah digunakan di Madinah ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w dan diperluaskan pada zaman Khulafa al-Rashidin ke seluruh dunia, tetapi Bapa Turki Moden, Mustaffa Kamal Atartuk membatalkan penggunaan dinar sebagai mata wang dan menggantikannya dengan syiling dari Barat pada 1924.
Beliau berkata, di Tanah Melayu pula, Kelantan pernah membayar ufti kepada Siam dalam bentuk bunga diukir daripada emas manakala Kerajaan Melayu Melaka pernah membayar ufti kepada Siam dan China dalam bentuk sama.
“Urusan dinar adalah urusan agama dan kedaulatan daulah Islamiah dan penggunaan dinar melambangkan ketundukan dan kepatuhan kita kepada perintah Allah menyebabkan kebangkitan muamalah ini amat mustahak dalam membentuk ummah bersatu dan disegani.
“Satu dinar melambangkan penyatuan satu ummah dan sudah pasti melangkaui sempadan, bahasa dan warna kulit,” katanya.
Sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment